top of page

Anugerah Pengendali Takaful Terbaik oleh Global Islamic Finance Awards 2015 di Manama, Bahrain

2 Oct 2015

BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Takaful Ikhlas Berhad, anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah Pengendali Takaful Terbaik sempena Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA) 2015 yang berlangsung di Manama, Bahrain baru-baru ini.

GIFA yang dianjurkan buat kali kelima sejak 2011 oleh EdBiz Consulting dengan kerjasama strategik National Bank of Kazakhstan itu meraikan pencapaian individu, institusi dan kerajaan dalam mempromosi dan menyokong perbankan dan kewangan Islam, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini. Pada majlis tersebut, sebanyak lebih 30 individu dan institusi daripada pelbagai negara menerima anugerah-anugerah yang dipertandingkan.

"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Anugerah ini membuktikan bahawa produk dan perkhidmatan Takaful Ikhlas adalah cukup kompetitif, setanding dengan syarikat-syarikat pengendali takaful terkemuka di Malaysia yang bergiat aktif. Anugerah ini dapat mengukuhkan lagi keyakinan lebih 2 juta pelanggan kami", kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Ab Latiff Abu Bakar.

"Sejak 13 tahun yang lalu, Takaful Ikhlas berjaya mengukuhkan kehadirannya dalam menyediakan perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berasaskan konsep Takaful yang menekankan semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama di kalangan para pesertanya. Pada hari ini, reputasi kami di pasaran Malaysia telah diiktiraf sebagai satu jenama dinamik dan terbaik yang dikenali ramai", ujar Ab Latiff.

Untuk tahun kewangan Takaful Ikhlas Berhad yang berakhir Mac 2015, sumbangan kasar Takaful Ikhlas meningkat sebanyak 7.3 peratus daripada RM769.6 juta kepada RM 826.0 juta, menurut kenyataan itu lagi. Perniagaan Takaful Keluarga Takaful Ikhlas menyumbang sebanyak 66.8 peratus dari jumlah sumbangan kasar dan meningkat 1.1 peratus berbanding tahun sebelumnya. Perniagaan Takaful Am menyumbang 33.2 peratus dengan peningkatan sebanyak 22.7 peratus.

"Takaful Ikhlas sentiasa merangka pelbagai pelan perniagaan agar peranan dan tanggungjawab asasi syarikat untuk menyebarluaskan muamalat Islam di negara ini khususnya dan diperingkat global, amnya tercapai", tambah Ab Latiff lagi. Takaful Ikhlas berpegang kepada komitmen untuk sentiasa menawarkan produk-produk inovatif, perkhidmatan yang berkualiti serta keazaman yang berterusan untuk mengekalkan reputasinya.

Menurut Pengerusi Pengasas GIFA Profesor Humayon Dar, GIFA adalah program anugerah kewangan Islam yang paling berprestij di dunia dan dihormati oleh personaliti politik dan negara yang terlibat dalam perbankan dan kewangan Islam.

Majlis anugerah itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Bahrain Datuk Ahmad Shahizan Abdul Samad. Terdahulu pada tahun ini, Takaful Ikhlas telah memenangi Pengendali Takaful Terbaik daripada Global Banking & Finance Review, portal dalam talian yang dibaca oleh 200 negara.


Posting Menarik
Recent Posts
Archive
Follow Us
Search By Tags
bottom of page